*assalamualaikum
Wajibkah Hadiri Undangan Perkahwinan ?
Lazimnya majlis perkahwinan diadakan semasa hari kelepasan awam, Juma`at atau Ahad dan ada juga semasa hari kelepasan awam. Setiap minggu tidak akan sunyi, daripada undangan majlis berkenaan. Malahan ada kalanya akan diterima lebih daripada satu kad undangan. Soalnya sekarang, apakah benar hukum menghadiri undangan perkahwinan itu wajib ? Kalau ia wajib, apakah ada syarat-syarat mengenainya ?
Sebenarnya menghadiri undangan perkahwinan itu suatu kewajipan, namun sejauh mana pemahaman orang terhadap makna kewajipan itu perlu kepada huraian. Kemungkinan ianya dilihat dari sudut hubungan kemasyarakatan atau sememangnya syara` menghendaki demikian atau kedua-duanya sekali. Untuk itu dihuraikan hukum menghadiri kenduri perkahwinan itu mengikut pandangan syara'.
Hukum Menghadiri Kenduri Kahwin
Hukum menghadiri atau memenuhi undangan kahwin itu adalah fardhu `ain iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Shallallahu `alaihi wasallam di dalam hadis-hadis Baginda, di antaranya :
Maksudnya : "Apabila salah seorang diantara kamu diundang untuk menghadiri walimah (perkahwinan), maka hendaklah dia datang menghadirinya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga sebuah hadis yang antara lain menyebutkan.
Maksudnya : (".................. dan barangsiapa tidak memenuhi undangan (walimah pernikahan) maka dia telah melanggar perintah Allah dan RasulNya."
(Hadis riwayat Bukhari)
Dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang lain :
Maksudnya : "Apabila salah seorang di antara kamu diundang untuk menghadiri walimah perkahwinan, hendaklah dia memperkenankan (menghadiri jemputan itu)"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis-hadis yang telah disebutkan, jelaslah kepada kita bahawa hukum menghadiri jemputan kahwin itu adalah fardhu `ain. Namun kewajipan untuk menghadiri jemputan itu bergantung kepada syarat-syarat yang tertentu :
(i) Orang yang menjemput atau mengundang itu orang Islam, akan tetapi disunatkan menghadiri jemputan orang kafir dzimmi, jika kita mengharapkan agar dia masuk Islam.
(ii) Hendaklah jemputan itu menyeluruh, meliputi keluarga orang yang menjemput atau jiran-jiran atau pekerja-pekerjanya dengan tidak membeza-bezakan di antara yang miskin dengan yang kaya.
(iii) Hendaklah orang yang menjemput itu menentukan orang yang dijemputnya tidak secara umum sama ada dengan cara menemuinya melalui kad jemputan atau dia mengutus seseorang untuk menjemputnya.Sekiranya orang yang menjemput itu membuka pintu rumahnya, lalu dia berkata : "Datanglah sesiapa saja yang mahu datang", maka tidak menjadi wajib menghadiri jemputannya.
(iv) Orang yang dijemput hendaklah membetulkan tujuan kehadirannya iaitu untuk merapatkan lagi hubungan yang sedia ada dan menambahkan kemesraan, bukan kerana takutkan orang yang menjemput atau kerana mencari dan mengharapkan faedah daripada kebesarannya atau untuk menolongnya ke arah kebatilan.
(v) Jika jamuan itu dibuat tiga hari bagi majlis yang sama, maka yang wajib dihadiri itu ialah jemputan pada hari petama, makruh dia hadir pada hari ketiga dan tidak lagi wajib dia hadir pada hari kedua. Sekiranya dia tidak dapat hadir pada hari pertama kerana sesuatu keuzuran seperti kerana ramainya orang yang berkunjung, maka wajib dia hadir pada hari kedua.
(vi) Hendaklah orang dijemput tidak kuat pada sangkaannya bahawa orang yang menjemput itu menggunakan hartanya yang haraim untuk menyediakan hidangan yang disajikannya.
(vii) Orang yang dipanggil itu tiada keuzuran yang menghalangnya hadir.
(viii) Tidak ada jemputan lain mendahului jemputan orang itu
(ix) Tidak ada di tempat jemputan itu orang yang menyakiti orang yang dijemput itu.
(x) Tidak ada di tempat jemputan itu sesuatu perkara mungkar seperti arak, alat bunyi-bunyian yang haram atau tari menari dan sebagainya.
(xi) Jika kehadirannya di tempat jemputan itu boleh membawa kepada terhalangnya perkara mungkar, maka wajiblah dia hadir supaya terhalang kemungkaran itu.
Jika terdapat salah satu perkara yang bercanggah dengan syarat-syarat di atas, maka gugurlah kewajipan kita untuk menghadiri undangan itu.
Sebagai kesimpulan, menghadiri jemputan perkahwinan adalah suatu kewajipan bagi setiap individu Muslim yang diundang, kerana dengan menghadiri jemputan itu kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara sesama insan di samping dapat mendedahkan diri kita ke dalam hidup bermasyarakat. Apatah lagi jika yang menjemput itu adalah jiran, ini sudah setentunya akan dapat menambahkan lagi kemesraan dan kasih sayang yang seterusnya akan dapat memupuk sifat bekerjasama, saling bantu membantu dan bergotong royong dalam membuat sesuatu pekerjaan.
Sumber : MUFTI BRUNEI
WaLLahua'lam

Page 1 of 1

Help







